Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelma beberapa hari lagi, kita dapat lihat lambakan promosi dan diskaun tertentu untuk pelbagai barangan. Malah, masyarakat khususnya yang bakal menyambut perayaan ini berpusu-pusu ke pasar raya untuk memborong pelbagai keperluan seperti buah limau, air berkarbonat dan sebagainya.
Namun satu peristiwa yang agak mengejutkan telah berlaku dan menular di Facebook pada 4 Februari lalu.
Netizen ini telah kongsikan pengalaman ‘ngeri’ yang dialaminya apabila melihat beberapa pembeli warga tua mengerumuni kawasan kotak-kotak buah limau yang dijual di pasar raya.
Setakat mengerumuni sahaja adalah perkara normal. Tetapi, semua pembeli ini telah membuka kotak buah limau berkenaan dan mula memilih buah limau yang mereka mahukan sahaja.
Seperti yang kita sedia maklum, buah limau yang dijual di dalam kotak ditutup rapi bagi memastikan pengguna tidak boleh melihat keadaan buah berkenaan sebelum membelinya.
Namun kejadian yang berlaku di pasar raya berkenaan benar-benar mengejutkan ramai.
Dikatakan buah limau bersaiz M dijual pada harga RM10.68 manakala buah bagi saiz S pula dijual pada harga yang sedikit rendah iaitu RM10.48 sahaja. Lantaran itu, beberapa orang pembeli bertindak mengambil kesempatan dengan mengosongkan kotak limau S dan mengisinya dengan buah limau saiz M.
Entri Facebook ini serta-merta menular di media sosial mempamerkan pembeli sanggup menipu dan ‘berkira’ dengan perbezaan harga sebanyak RM0.20 sahaja!
Jika semua pembeli mengambil kesempatan seperti ini, bagaimana pula nasib pemilik pasar raya berkenaan? Dan siapa pula yang akan membeli baki buah-buahan yang ditinggalkan di dalam kotak yang sudah terbuka itu?
Netizen ini sempat merakamkan kejadian berkenaan dan segera melaporkan perkara tersebut kepada pekerja pasar raya. Tambahnya lagi, dia pernah melihat seorang pembeli mencabut kepala udang sebelum menimbangnya bagi membolehkannya membeli lebih banyak udang dengan harga yang murah.
Sejak entri berkenaan menjadi tular, ramai netizen turut kongsikan pengalaman masing-masing melihat tingkah laku luar biasa pembeli lain yang berada di pasar raya. Salah satu insiden yang paling menjijikkan adalah terdapat kesan hingus pada pakaian yang dijual di pasar raya!
Oh Tuhan! Apa nak jadi dengan mentaliti rakyat Malaysia? Diharap individu-individu yang bertanggungjawab akan sedar akan kesalahan yang dilakukan dan berubah menjadi pembeli yang lebih bertanggungjawab pada masa hadapan.
Sumber : worldofbuzz.com