Anak kecil itu ibarat kain putih dan mereka akan diajar oleh ibu bapa dengan pelbagai perkara dan tindakan menurut norma kehidupan bermasyarakat. Terpulang kepada ibu dan bapa mengajar anak masing-masing dengan cara, nilai dan pengajaran berguna supaya anak-anak ini akan membesar menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab dan boleh berdikari di atas kakinya sendiri kelak.
Adalah tidak mengejutkan apabila ada masanya kanak-kanak dapat menunjukkan sikap berperikemanusiaannya lebih daripada orang dewasa tanpa disuruh untuk berbuat demikian. Satu contoh telah ditunjukkan oleh seorang kanak-kanak di Chengdu, China semasa dia dan ibunya dalam satu perjalanan di dalam keretapi bawah tanah Chengdu Metro Line 2.
Seorang budak lelaki dilihat dengan ikhlas menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan kepada dua orang ibu di dalam keretapi ini, seorang ibu tidak dikenali yang membawa anak kecil dan ibunya sendiri yang sedang keletihan.
Seorang penumpang yang melihat kejadian ini telah merakamkan tindakan mulia budak lelaki ini yang bersifat budiman sebelum waktunya. Pada mulanya dia duduk di sebelah ibunya di dalam sebuah keretapi bawah tanah. Kemudian dia telah bangun dan memberikan tempat duduknya kepada seorang wanita yang baru tiba bersama bayinya di dalam kereta bayi. Budak lelaki ini kemudian berdiri di sebelah ibunya.
Melihat ibunya yang keletihan, budak lelaki ini telah mengambil beg tangan merah jambu ibunya dan membantu memegangnya. Kemudian budak lelaki budiman ini telah meletakkan tangannya di penghadang cermin di sebelah tempat duduk ibunya itu sebagai perlindungan dan menjadikan ia ‘bantal’ sementara buat ibunya berasa selesa dan tidak terhantuk ketika sedang tidur.
Budak lelaki yang baik hati ini telah membantu memegang semua barangan ibunya bersama beg tangan tersebut dan meletakkan tangannya sebagai bantal yang melindungi kepala ibunya yang sedang tidur kerana keletihan.
Gambar yang dirakam ini telah mendapat perhatian ramai netizen di dalam halaman media sosial Weibo dan menjadi tular. Ia telah mendapat perhatian lebih 180,000 orang yang suka dan 18,000 yang lain telah memberikan komen dengan kebanyakannya memuji tindakan berperikemanusiaan dan tidak mementingkan diri kanak-kanak ini.
Seorang pengguna Weibo telah menulis, “Tolong saya untuk mendapatkan maklumat ibu bapa anak ini. Saya ingin membuat persiapan untuk menjadikan anak lelaki mereka sebagai menantu saya kelak, berkahwin dengan bakal anak perempuan saya.”
Kanak-kanak kecil sentiasa sahaja dapat memberikan kita dengan kejutan yang tidak dijangka seperti yang ditunjukkan oleh budak lelaki ini. Sifat simpati dan belas kasihannya telah menunjukkan kepada kita bahawa dunia akan menjadi lebih baik di masa hadapan sekiranya ramai ibu bapa dapat memupuk nilai yang baik di dalam diri anak-anak mereka untuk menjadi orang dewasa yang berguna dan bertanggungjawab kepada masyarakat kelak.
Sumber : windhorsetour.com